Runners 2.0 mudahkan kemas kini maklumat

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Sebagai usaha untuk meningkatkan perkhidmatan kepada orang ramai, khususnya runner domestik, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) telah menaik taraf sistem pendaftaran bagi runner domestik (Runners 2.0) bermula hari ini.

Pihak kementerian menjelaskan sistem baharu itu mengandungi beberapa ciri baharu seperti pengemaskinian maklumat runner domestik yang akan membolehkan runner domestik berdaftar untuk mengemas kini maklumat-maklumat mereka secara dalam talian.

Ini termasuk mengemas kini maklumat asas sekiranya terdapat sebarang perubahan dalam maklumat yang telah dimasukkan semasa pendaftaran awal, khususnya berkaitan status vaksinasi.

Selain itu, Sistem Runners 2.0 juga akan memerlukan runner domestik untuk memasukkan maklumat tambahan seperti tarikh lahir, jantina, daerah, status vaksinasi COVID-19, tarikh mendapat dos suntikan vaksin dan tarikh terkini menjalani ujian swab PCR.

Ciri baharu lain adalah kod warna di mana seperti saranan Kementerian Kesihatan meminta semua runner domestik yang berdaftar untuk menjalani ujian swab PCR setiap minggu, di samping mengemas kini tarikh terakhir ujian swab masing-masing ke dalam laman web MTIC yang telah bermula pada 8 Oktober.

Di bawah Sistem Runners 2.0, ciri baharu kod warna diperkenalkan yang mempunyai dua kod warna iaitu hijau dan merah manakala bagi runner demostik yang telah mengemas kini tarikh terakhir ujian swab PCR mereka setiap minggu akan diberikan kod warna hijau.

Manakala itu, bagi runner domestik yang tidak mengemas kini tarikh terakhir ujian swab PCR setiap minggu, mereka akan diberikan kod warna merah.

Kod merah berkenaan hanya akan bertukar kepada kod hijau setelah mereka mengemas kini tarikh terakhir ujian swab mereka.

Sistem berkenaan juga akan membolehkan auto update ke atas status kod warna runner berkenaan setiap kali mereka mengemas kini tarikh terakhir ujian swab masing-masing setiap minggu.

Ini bermakna kod warna bagi setiap runner bergantung kepada tarikh terakhir ujian swab masing-masing dan kod warna untuk setiap runner akan dipaparkan dalam Directory of Domestic Runners di laman web MTIC untuk rujukan orang ramai dan runner berkenaan mengenainya.

Ciri baharu ketiga pula adalah fungsi carian yang dipertingkat dengan membolehkan carian melalui nama, nombor ID runner dan syarikat (bagi runner yang berkhidmat di bawah syarikat-syarikat yang berdaftar).

Ciri berkenaan akan menambah baik kaedah pengecaman digital bagi runner berkenaan berdasarkan maklumat yang dipaparkan melalui Directory of Domestic Runners di laman web MTIC sebagai rujukan runner dan orang ramai.