Monday, December 23, 2024
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Running Man bakal gegarkan M’sia

    Selepas tujuh tahun menanti, peminat pastinya akan teruja dan tersenyum mendengar berita gembira kehadiran bintang rancangan hiburan popular Korea Selatan, Running Man ke Malaysia pada 15 Februari tahun depan.

    Menerusi konsert jelajah Running Man Run 2 U Live In Kuala Lumpur, kehadiran enam anggota tetap program berkenaan bakal menggamatkan pentas Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC), Seri Kembangan, Kuala Lumpur.

    Memetik laporan mStar, antara yang bakal membuat kemunculan adalah Ji Seok Jin, Yu Jae Seok, Kim Jong Kook, HAHA, Song Ji Hyo dan Yang Se Chan.

    Penganjuran acara jelajah tersebut di dua negara iaitu Filipina dan Indonesia pada awal tahun 2024 membuktikan populariti program tersebut di rantau Asia apabila tiket habis terjual.

    Lebih istimewa, acara itu merupakan kali pertama Jae Seok dan Se Chan menjejakkan kaki ke Malaysia untuk bertemu peminat.

    Kehadiran kedua-dua anggota tersebut dijangkakan bakal memeriahkan suasana dengan lawak jenaka.

    Menjanjikan pengalaman luar biasa, anggota Running Man bersedia untuk memenangi hati peminat menerusi aktiviti menarik serta aksi mencuit hati.

    Selepas 14 tahun bersiaran, Running Man telah memenangi pelbagai anugerah termasuk Anugerah Program Paling Popular dan Anugerah Program Paling Cemerlang di acara Anugerah Hiburan SBS.

    Running Man Run 2 U Live In Kuala Lumpur dijadualkan berlangsung di Mines International Exhibition & Conference Centre (MIECC) pada 15 Februari 2025. – Agensi

    Anggota Running Man teruja untuk menghiburkan peminat di Malaysia. – cnnindonesia.com
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda