CALGARY, 20 JUN – Batu-batu yang gugur telah menimpa sekumpulan pendaki di sebuah denai di Taman Negara Banff di Pergunungan Rocky, Kanada, kelmarin, mengakibatkan seorang maut dan tiga lagi cedera.
Pasukan penyelamat bergegas ke taman tersebut pada waktu petang selepas menerima laporan bahawa sekumpulan pendaki telah ditimpa runtuhan batu. Polis Diraja Kanada (RCMP) dan Parks Canada kemudian mengesahkan seorang terbunuh manakala tiga lagi cedera berhampiran Air Terjun Bow Glacier.
Lokasi kejadian terletak di utara Tasik Louise di sepanjang Icefields Parkway, kira-kira 200 kilometer di barat laut Calgary. Ia juga terletak sekitar 137 kilometer dari lokasi Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) yang diadakan di Kananaskis, Alberta minggu ini.
Jurucakap STARS Air Ambulance, Kate Langille, berkata dua unit pasukan mereka telah dikerahkan sekitar jam 2 petang.
Parks Canada telah meminta orang ramai untuk mengelakkan kawasan tersebut.
Denai pendakian ke Air Terjun Bow Glacier sepanjang 9 kilometer itu menghala ke tepi Tasik Bow. Ia dianggap sebagai laluan yang sederhana mencabar dan sering dikunjungi oleh pendaki serta keluarga bagi lawatan seharian. Premier Alberta, Danielle Smith, melahirkan rasa sedih atas kejadian itu. – AP
