Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Runtuhan sekolah: Seorang ditemui selamat

    SIDOARJO, 1 OKT – Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan seorang mangsa yang terselamat daripada runtuhan sebuah sekolah di Indonesia, hari ini, ketika ibu bapa yang cemas menuntut agar usaha mencari berpuluh-puluh lagi mangsa yang dipercayai masih terperangkap dalam runtuhan tersebut dipercepatkan.

    Sebahagian daripada sekolah bertingkat di pulau Jawa itu tiba-tiba runtuh pada Isnin, ketika para pelajar berkumpul untuk solat pada waktu petang.

    Pasukan penyelamat hari ini memaklumkan mereka telah menemui seorang mangsa terselamat dan mayat keempat daripada bangunan yang musnah itu, tetapi tidak memberikan butiran lanjut mengenai kedua-duanya.

    Berdasarkan rekod sekolah, “Seramai 91 orang disyaki tertimbus,” kata jurucakap Agensi Bencana dan Mitigasi Negara, Abdul Muhari, dalam satu kenyataan kelmarin.

    Ibu bapa yang menangis berkumpul berhampiran runtuhan sepanjang hari ini, menunggu berita mengenai anak-anak mereka.

    Ahli keluarga pelajar hilang ditenangkan ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan di Sekolah Asrama Islam Al Khoziny di Sidoarjo, wilayah Jawa Timur, kelmarin, selepas bangunan sekolah bertingkat itu runtuh dua hari sebelumnya. – AFP

    “Kami percaya anak-anak kami mungkin masih hidup kerana mereka menjerit minta tolong,” kata Abdul Hanan, seorang bapa kepada anak lelakinya berusia 14 tahun yang masih hilang. “Operasi menyelamat mesti dipercepatkan.”

    “Kami kini berlumba dengan masa,” tambah lelaki berusia 45 tahun itu sambil menitis air mata.

    Di kawasan berhampiran, Dewi Sulistiana menunggu berita mengenai anak lelakinya yang berusia 14 tahun, yang terakhir dihubunginya pada Ahad. Sekolah asrama itu mengehadkan akses pelajar kepada telefon bimbit.

    Beliau bergegas ke lokasi dari Surabaya, beberapa puluh kilometer jauhnya, selepas mendengar mengenai runtuhan itu.

    “Saya sudah berada di sini beberapa hari. Saya menangis memikirkan anak saya,” katanya kepada AFP.

    “Mengapa mengambil masa begitu lama untuk menemuinya, mengapa pencarian begitu perlahan? Saya belum mendapat sebarang maklumat, jadi saya hanya menunggu.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda