Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Runtuhan tanah landa perkampungan Switzerland

    GENEBA, 30 OGOS – Runtuhan tanah melanda sebuah perkampungan Switzerland kelmarin selepas hujan lebat berterusan, memusnahkan puluhan rumah tetapi tidak menyebabkan kecederaan, lapor media.

    Runtuhan tanah itu merempuh perkampungan kecil Schwanden di bahagian timur Switzerland kira-kira 5:30 petang, lapor agensi berita Keystone-ATS, memetik polis wilayah di Glarus canton.

    Sejumlah besar lumpur, batu dan serpihan lain menuruni lereng gunung dengan deras, mencetuskan malapetaka di laluan sepanjang 400 meter, memusnahkan atau menimbus puluhan rumah, katanya.

    Lebih banyak aliran tanah dan batu dilepaskan dalam gelombang kedua beberapa jam kemudian.

    Video yang diterbitkan oleh beberapa media Switzerland menunjukkan lumpur warna perang itu menghentam pokok-pokok dan menghancurkan struktur, ketika orang ramai menjerit terkejut.

    Gambar AFP

    Polis berkata tiada tanda-tanda sesiapa yang cedera, media melaporkan, sambil menambah bahawa pihak berkuasa tempatan telah mengarahkan supaya kawasan itu dikosongkan.
    Tahap kerosakan sepenuhnya masih belum dinilai.

    “Kami telah diarahkan untuk mengosongkan rumah. Kami perlu pergi. Kami perlu mencari tempat lain untuk tidur,” beritahu penduduk tempatan Diana Ristic, 26, kepada akhbar harian Blick.

    Satu lagi kejadian tanah runtuh berlaku di wilayah yang sama hanya seminggu yang lalu, menyebabkan pemindahan lima rumah dan dua perniagaan kerana kebimbangan keselamatan, lapor Keystone-ATS.

    Sejak itu, mangsa yang dipindahkan masih belum dibenarkan pulang, kata jurucakap polis Glarus, Richard Schmidt kepada agensi berita itu.

    Berikutan runtuhan tanah kelmarin, kawasan pemindahan akan diperluaskan untuk merangkumi lebih kurang 100 orang lagi, lapornya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda