Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ruoning juara golf Maybank 2024

    KUALA LUMPUR, 27 OKT – Pemain nombor empat dunia, Yin Ruoning, mempamerkan aksi cemerlang dengan mencatat 65 pukulan pada pusingan akhir untuk meraih gelaran keduanya dalam tempoh tiga minggu di Kejohanan Maybank Jelajah LPGA Amerika Syarikat (AS) di Malaysia, hari ini.

    Pemain nombor satu China berusia 22 tahun itu menunjukkan prestasi terbaik sepanjang Jelajah LPGA di Asia setelah memenangi gelaran di kejuaraan Buick Shanghai dua minggu lalu dan menamatkan saingan di kedudukan ke-14 dalam Kejohanan BMW di Korea Selatan minggu lalu.

    Di Kuala Lumpur Golf and Country Club, Yin mencatat kemenangan ketiganya tahun ini dengan catatan keseluruhan 23-bawah 265, satu pukulan di hadapan wakil Thailand, Jeeno Thitikul.

    Yin, bersama Jeeno dan Ryu Hae-ran dari Korea Selatan, memulakan hari terakhir dengan kedudukan terikat pada 16-bawah par, namun Yin berjaya menamatkan permainan dengan birdie ketujuh di lubang terakhir tanpa bogey.

    Ryu mengakhiri saingan di tempat ketiga dengan 21-bawah par, satu pukulan di belakang.

    Ruoning mencium trofi selepas memenangi kejohanan tersebut, kelmarin. – AFP

    “Saya memang agak gementar,” akui bekas pemain nombor satu dunia, Yin.

    “Saya amat menghargai Haeran dan Jeeno. Mereka memberikan saya cabaran terbaik,” tambahnya.

    “Ini adalah hari yang hebat di lapangan dan satu lagi hari yang indah bersama rakan-rakan,” ujarnya.

    Yin mengaitkan prestasi luar biasanya pada akhir musim ini dengan kekuatan mental dan keupayaannya mengawal tekanan.

    “Saya banyak belajar sejak awal tahun kerana saya agak tertekan,” kata Yin.

    “Tahun lepas sangat luar biasa dan saya tertanya-tanya sama ada saya mampu menang lagi.

    “Tetapi saya sedar bahawa saya hanya perlu menikmati permainan dan berseronok,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda