KUALA LUMPUR, 28 OKT – Pemain golf China, Yin Ruoning telah berazam untuk mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Golf Maybank 2025 bernilai AS$3 juta (RM12.60 juta) yang bakal berlangsung di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC), Bukit Kiara, bermula Khamis ini.
Bagaimanapun, pemain nombor tujuh dunia berusia 23 tahun itu mengakui tugas berkenaan bukan sesuatu yang mudah, khususnya dengan kehadiran barisan pemain handalan dunia, namun tetap bersemangat untuk mempamerkan aksi terbaik.
“Saya memang mahu mempertahankan kejuaraan, tetapi ramai pemain hebat beraksi minggu ini. Saya lihat pemain Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) semakin meningkat kerana tahun ini dan hanya seorang sahaja berjaya muncul juara berganda.
“Jadi, saya percaya peluang itu tetap ada, cuma saya perlu bermain dengan sebaik mungkin,” kata Yin Ruoning.
Pada edisi tahun lepas, Ruoning muncul sebagai juara dengan kelebihan satu pukulan ke atas pemain Thailand, Jeeno Thitikul dengan jumlah 23 bawah par 265.
Edisi tahun ini bakal menyaksikan saingan sengit melibatkan 78 pemain termasuk 16 bintang ternama dunia yang memburu gelaran juara dalam kejohanan berprestij itu. – Bernama


