MUMBAI, 19 JULAI – Mata wang India, rupee merudum kepada lebih dari 80 setiap dolar AS untuk kali pertama yang direkodkan hari ini, ketika dolar AS terus kukuh dan aliran keluar mata wang asing yang bertambah kuat.
Mata wang rupee mencecah 80.0600 berbanding dolar AS selepas dagangan bermula, berbeza dengan penutupan pada 79.9487, menurut data dikeluarkan Bloomberg.
Inflasi tinggi dan kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) ditambah lagi dengan kekhuatiran terhadap kemerosotan dalam ekonomi terbesar dunia yang mencetuskan kenaikan kadar dolar dalam beberapa minggu kebelakangan ini apabila pelabur mengelak daripada mengambil risiko.
Polisi monetari AS yang semakin ketat menjejaskan aliran keluar dari pasaran gabungan seperti India, di mana pelabur asing mengeluarkan nilai bersih berjumlah AS$31 bilion dalam hutang dan ekuiti pada tahun ini.
Menurut data yang dikeluarkan pada minggu lalu menunjukkan inflasi harga pengguna AS mencecah paras tertinggi terbaharu dalam tempoh empat dekad pada Jun lalu, mengatasi ramalan pasaran dan jangkaan saham dalam satu lagi kenaikan kadar Rizab Persekutuan yang besar minggu depan.
Dalam satu kenyataan bertulis kepada parlimen India kelmarin, Menteri Kewangan Nirmala Sitharaman mengaitkan kejatuhan mendadak rupee adalah akibat daripada faktor luaran.
“Faktor global seperti konflik Rusia dan Ukraine, peningkatan harga minyak dan keadaan kewangan global yang diketatkan adalah punca utama yang melemahkan mata wang rupee berbanding dolar AS,” katanya.
Pada masa sama, mata wang India telah diperkukuhkan berbanding pound Britain, yen Jepun dan euro setakat ini pada tahun ini, tambah Sitharaman.
Walau bagaimanapun, peningkatan harga minyak mentah telah menjejaskan keseimbangan perdagangan di negara yang mengimport 80 peratus hasil minyaknya. – AFP
