Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ruri Repvblik janji tidak buka baju atas pentas

    Peserta Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) yang juga vokalis kumpulan Repvblik, Ruri tiada masalah untuk mematuhi undang-undang serta sensitiviti masyarakat di Malaysia seperti tidak membuka baju ketika membuat persembahan.

    Meskipun tindakan membuka baju di atas pentas merupakan perkara biasa dilakukan di Indonesia, namun Ruri atau nama sebenarnya Ruri Wantogia, 44, mengambil maklum segala peraturan di negara itu.

    “Kalau di Indonesia saya sudah biasa buat persembahan tanpa berbaju. Memang itu gaya saya di atas pentas.

    “Tapi bila di Malaysia, saya tahu perkara ini tidak sesuai dan saya cuba menyesuaikan diri ikut budaya serta undang-undang di sini. Saya menghormati peraturan yang ditetapkan,” katanya kepada mStar.

    Ruri ditemui selepas persembahan minggu pertama GV12 yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor pada malam Ahad.

    Ruri mengakui tiada masalah untuk mematuhi undang-undang di Malaysia iaitu tidak membuka baju ketika membuat persembahan. – mStar

    Menurut Ruri, dia tidak berkecil hati apabila pengacara GV12, Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad bergurau mengenai video tular dirinya yang membuka baju ketika membuat persembahan di Indonesia.

    Dalam pada itu, Ruri berkata, penglibatannya dalam GV12 merupakan pengalaman kali pertama menyertai pertandingan nyanyian yang dinilai secara langsung oleh juri profesional.

    “Selama ini saya menyanyi sebagai penyanyi kumpulan. Tapi bila masuk pertandingan macam ini, rasa gementar itu lain macam.

    “Peserta lain semuanya hebat. Saya anggap ini satu cabaran besar untuk saya,” ujarnya.

    Tambah Ruri, penyertaannya dalam GV12 juga bertujuan untuk mengembangkan pengaruh muzik Repvblik dan menambah peminat di Malaysia.

    Ruri turut memberitahu dia berulang-alik setiap minggu dari Indonesia ke Malaysia sepanjang tempoh pertandingan, namun tidak menganggap ia sebagai beban.

    “Saya masuk GV12 sebab mahu tambah peminat, bukan sahaja di Indonesia tetapi juga di Malaysia supaya lebih meluas.” – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda