Lebih suka meluangkan masa di rumah membuatkan ramai menyangka pelakon Rusdi Ramli kurang menerima tawaran lakonan.
Memetik laporan mStar, meskipun beliau dilihat kurang aktif menghadiri acara hiburan namun, Rusdi, 54, memberitahu beliau masih sibuk dengan kerjaya seni dan ada menerima tawaran berlakon.
“Sebenarnya situasi itu tidak timbul… tak pernah ada! Saya masih bekerja dan membayar bil.
“Saya adalah pelakon yang dilihat di luar semasa bekerja ataupun hantar anak sekolah selain dari itu saya duduk rumah.
“Mungkin orang nampak macam itu,” katanya kepada mStar.
Bagaimanapun Rusdi mengakui tawaran lakonan terhadapnya kini tidak sehebat dahulu namun beliau percaya pada aturan rezeki buatnya.
Kata Rusdi lagi, beliau tiada kerjaya lain selain menjadi pelakon dan pengarah dalam industri seni tanah air.
“Sekarang memang tiada tawaran macam dulu sangat… sekarang ini kurang sikit tapi tak adalah sampai saya duduk rumah kemurungan. Itu sangat tidak betul.
“Tawaran sentiasa ada, saya pun baru habis jalani penggambaran drama 30 episod.
“Saya tak ada kerja lain… saya memang seratus peratus dengan berlakon tapi saya percaya rezeki itu tuhan yang atur.
“Bagi saya yang mana datang dulu, kalau saya mengarah tentu setiap hari saya kena ada jadi saya tak ambil tawaran berlakon,” katanya lagi.
Menurut Rusdi, beliau juga tidak mempunyai masalah mengenai soal bayaran meskipun ada pihak menyangka dirinya agak memilih untuk berlakon.
Malah beliau tidak menolak sekiranya tawaran lakonan itu berbaloi dengan harga.
“Alhamdulillah setakat ini masih berbaloi dengan harga saya, soal bayaran itu bagi saya agak peribadi kerana ada orang tak boleh terima harga itu.
“Macam saya senang. Saya buat congak, kalau berbaloi kos minyak, tol dan modal saya ambil saja. Setengah orang ingat saya mahal tapi sebenarnya saya tak mahal.
“Memang dari dulu macam itu, sebab itu pelakon takut terima anugerah… tapi saya Alhamdulillah masih ada kerja,” kongsinya. – Agensi


