Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rusia anggap wang digital mampu bawa perubahan– Sherpa G20

    NEW YORK, 29 SEPT – Rusia berpendapat mata wang digital berpotensi menjadi alat kewangan yang menjanjikan, kata Sherpa G20 negara itu, Svetlana Lukash kepada RIA Novosti.

    “Bagi Rusia, ini dilihat sebagai antara instrumen yang berpotensi. Adalah penting untuk menyelesaikan semua elemen perlu yang berkaitan,” katanya di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

    Beliau menyifatkan cadangan membangunkan piawaian antarabangsa bagi peredaran mata wang kripto sebagai langkah yang amat tepat.

    “Pendekatan terhadap kefahaman, kawal selia dan pengurusan isu mata wang digital telah dibincangkan secara khusus dalam kalangan G20 sejak dua tahun lalu. Namun, banyak bergantung kepada pendekatan peringkat nasional.

    “Sekitar 80 negara telah mula memperkenalkan elemen kawal selia dalam undang-undang mereka berkaitan pengeluaran mata wang digital dan peredaran aset kripto,” jelas Lukash.

    Beliau turut menarik perhatian bahawa Amerika Syarikat telah menggubal peraturan berkaitan isu ini, namun dengan hala tuju berbeza.

    “Sebagai contoh, pengeluaran aset kripto di AS boleh dilakukan oleh syarikat swasta dan bukan oleh kerajaan, yang seterusnya menjadi batu penghalang dalam usaha mencari pendekatan bersama dalam G20 dan organisasi lain,” kata Lukash.

    Beliau berpendapat, perkara ini perlu dibincangkan kerana semua negara wajar, “bercakap dalam bahasa yang sama” apabila membabitkan bidang baharu peraturan kewangan, dengan kepentingan ekonomi negara masing-masing menjadi keutamaan.

    “Isu ini sangat relevan bagi Rusia memandangkan Bank Pusat kami masih menentukan pendekatan serta meneruskan pembangunan peraturan berkaitan. Kita akan bincangkan lebih lanjut apabila instrumen ini digunakan sepenuhnya,” jelasnya.

    Rusia juga perlu mencari titik penyelarasan dengan pendekatan Amerika Syarikat, yang memerlukan platform relevan serta dialog antara bank pusat kedua-dua negara, katanya. – Bernama/Sputnik/RIA Novosti

    Vladimir Putin semasa mengendalikan satu mesyuarat persidangan video di Kremlin, Moscow, Rusia pada 26 September. Rusia berminat dengan wang digital. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda