KUALA LUMPUR, 29 MAC – Rusia akan menganjurkan Pameran Perdagangan Antarabangsa Pasaran Halal, platform perdagangan terbesar bagi masyarakat Islam dunia, sebahagian daripada Forum Ekonomi Antarabangsa tahunan ‘Rusia-Dunia Islam: KazanForum 2024’ pada 14 hingga 19 Mei.
Sekretariat KazanForum dalam kenyataan berkata pameran dan forum itu akan menghimpunkan wakil dari semua negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
“Pada 2023, pengunjung berpeluang melihat produk dari Iran, Afghanistan, Senegal dan Turkiye. Dijangkakan pada tahun ini syarikat dari Indonesia dan Malaysia telah menunjukkan minat tambahan dalam pameran itu dan akan memasuki pasaran halal Rusia yang semakin berkembang,” menurut kenyataan tersebut.
Sekretariat itu berkata pada 2024, Pameran Perdagangan Antarabangsa Pasar Halal Kazan akan diadakan dari 14 hingga 19 Mei di Taman Agro-Industri Kazan.
Peserta berpeluang mempamerkan produk mereka di kawasan perdagangan seluas 5,000 meter persegi.
Yuran penyertaan adalah AS$210 untuk tempat perdagangan yang lengkap dengan pameran.
Produk pengkhususan untuk pameran itu ialah makanan, perdagangan borong dan runcit serta barangan pengguna.
Di Pasar Halal Kazan, pengunjung boleh mendapatkan pakaian, aksesori, kosmetik dan barangan pengguna lain dengan pensijilan halal daripada syarikat pengeluar terkemuka dunia Islam.
Menurut kenyataan itu, pada 2023, seramai 400 pempamer mengambil bahagian di Pasar Halal Kazan yang menawarkan 4,500 produk.
Pameran itu menjadi tempat tarikan bagi para pencinta halal dan platform yang mudah untuk membeli-belah keluarga. – Bernama