Rusia, AS: Sedia bagi hubungan baik

SOCHI, Rusia, 14 Mei – Para diplomat tertinggi Moscow dan Washington berkata hari ini mereka sudah bersedia untuk meningkatkan hubungan, menjelang rundingan peringkat tertinggi negara dalam tempoh hampir setahun ketika Presiden Vladimir Putin menghoskan Setiausaha Negara, Mike Pompeo.

Pompeo tiba di resort Laut Hitam di Sochi hari ini di tengah-tengah perselisihan pendapat berkaitan kawalan senjata hingga kepada krisis tegang Venezuela dan Iran.

Pada permulaan rundingan bersama Menteri Luar Negeri Rusia, Sergei Lavrov, dan sebelum mesyuarat malam yang dirancang bersama Putin, Pompeo menyatakan harapan kedua-dua pesaing itu dapat ‘menstabilkan hubungan’.

“Saya di sini hari ini kerana Presiden (Donald) Trump komited untuk memperbaiki hubungan ini,” katanya.

“Kita mempunyai perbezaan – setiap negara akan melindungi kepentingannya sendiri dan menjaga rakyatnya – tetapi bukannya kita perlu menjadi musuh bagi setiap isu.”

Mike Pompeo ditemani oleh Duta AS ke Rusia, Jon Huntsman Jr semasa menghadiri mesyuarat bersama Menteri Luar Negeri Rusia, Sergei Lavrov di Sochi pada 14 Mei. – AFP

Lavrov berkata Rusia sudah bersedia untuk membuka halaman baharu dalam hubungan ini.

“Saya percaya sudah tiba masanya untuk mula membina model persepsi bersama yang baharu dan lebih konstruktif serta bertanggungjawab antara satu sama lain,” katanya.

“Kami faham bahawa banyak kesangsian dan kecenderungan yang bertambah di kedua-dua belah pihak, kita tidak akan menang apa-apa daripada perkara ini.”

Lawatan Pompeo ke Rusia – yang pertama sebagai Setiausaha Negara – muncul ketika ketegangan memuncak di Teluk, dengan Iran dan Amerika Syarikat terlibat dalam perang mulut baharu mengenai perjanjian nuklear Tehran.

Pompeo adalah pegawai tertinggi AS yang menemui Putin sejak Julai lalu, ketika Trump bertemu dengannya di Helsinki.

Ketika tiba, Pompeo dialu-alukan oleh para pegawai tempatan termasuk Datuk Bandar Sochi.

Menjelang rundingan, Putin dibawa melawat ke pusat ujian pesawat tentera di selatan Rusia dan memeriksa peluru berpandu hipersonik yang berkuasa nuklear baharu digelar Kinzhal (Dagger).

Jurucakapnya, Dmitry Peskov menafikan pameran kemudahan tentera itu bukan ditujukan untuk menghantar mesej kepada rakyat Amerika. – AFP