MOSCOW, 29 NOV – Rusia berkata hari ini ia telah berjaya menjalankan ujian peluru berpandu krus hipersonik, Zircon, ketika kuasa-kuasa dunia berlumba-lumba untuk membangunkan senjata canggih.
Rusia, Amerika Syarikat (AS), Perancis dan China semuanya telah bereksperimen dengan jentera peluncur hipersonik – dikatakan mencecah kelajuan seperti Mach 5.
Sebagai sebahagian daripada ‘kelengkapan ujian’ peluru berpandu hipersonik Rusia itu, kapal perang Admiral Gorshkov telah melancarkan peluru berpandu Zircon pada sasaran di Laut Barents dengan jarak 400km, menurut kementerian pertahanan.
“Tembakannya mengenai sasaran,” menurut kementerian, menyifatkan ujian itu berjaya.
Peluru berpandu telah menjalani beberapa ujian baru-baru ini, dengan Rusia merancang untuk melengkapi kedua-dua kapal perang dan kapal selamnya dengan Zircon.
Putin mendedahkan pembangunan senjata baharu itu semasa menyampaikan ucapan negara pada Februari, menyatakan ia boleh mengenai sasarannya di laut dan darat dalam jarak 1,000km dengan kelajuan Mach 9.
Ujian terbaharu Zircon itu muncul selepas Barat melaporkan penerbangan ujian peluncur hipersonik China pada Julai mencapai puncaknya dalam penembakan peluru berpandu yang mana lebih lima kali kelajuan bunyi di Laut China Selatan. – AFP
