Saturday, December 21, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rusia boleh manfaatkan kekuatan M’sia sebagai peneraju global kewangan Islam

    KUALA LUMPUR, 5 SEPT – Rusia boleh memanfaatkan kekuatan Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan Islam, kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Anwar berkata kewangan Islam adalah bidang yang sesuai untuk kerjasama bagi kedua-dua buah negara itu kerana Malaysia memiliki ekosistem institusi teguh yang bukan sahaja mematuhi Prinsip Syariah tetapi juga memacu inovasi dalam instrumen kewangan.

    “Rusia, dengan populasi Islam yang ramai, mempunyai potensi besar dalam kewangan Islam, dan saya percaya pengenalan perbankan Islam di Rusia akan dapat memudahkan projek bersama dan menarik pelaburan besar daripada negara dengan majoriti penduduk Islam,” kata beliau ketika berucap pada sesi pleno di Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9, di Vladivostok, Rusia, hari ini.

    Menurut laporan berita, Rusia melancarkan sistem perbankan Islam di empat wilayah utama yang didominasi Muslim di negara itu bermula 1 September tahun lalu sebagai sebahagian daripada program perintis dua tahun.

    Rusia mempunyai populasi Islam yang besar berjumlah antara 20 dan 25 juta orang.

    Sementara itu, Anwar berkata sebagai satu daripada pengeluar dan pengeksport bijirin terbesar di dunia, Rusia memainkan peranan penting dalam memastikan keterjaminan makanan global dan negara itu merupakan antara pemain utama dalam sektor pertanian. 

    “Eksport pertanian Rusia memainkan peranan penting dalam menstabilkan pasaran global di tengah-tengah gangguan rantaian bekalan yang berterusan,” kata beliau.

    Mengenai usaha kerjasama membangunkan penyelesaian berteknologi tinggi, terutamanya dalam kecekapan tenaga, penghantaran data dan teknologi bandar pintar, Anwar berkata Putrajaya dan Moscow boleh memanfaatkan kekuatan kolektif masing-masing untuk memacu inovasi dan menangani cabaran abad ke-21.

    Selain itu, beliau berkata dorongan untuk kemajuan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) dan teknologi semikonduktor harus dipandu oleh nilai kemanusiaan dan sikap tidak pentingkan diri sendiri. – Bernama

    Putin semasa mengadakan pertemuan dengan Anwar Ibrahim di luar EFF ke-9 di Vladivostok pada 4 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda