BEIJING, 3 SEPT – Rusia berkata kelmarin ia telah menandatangani perjanjian dengan China untuk membina saluran paip gas rentas sempadan, yang terbaharu dalam siri langkah sekutu untuk mengukuhkan hubungan.
Memorandum persefahaman (Mou) untuk membina saluran paip Power of Siberia 2 telah ditandatangani semasa lawatan ke China oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Walaupun ia merupakan satu langkah ke hadapan dalam rundingan panjang mengenai perancangan besar-besaran, MoU itu tidak muktamad dan banyak butiran seperti harga masih belum jelas.
Saluran paip itu akan transit di Mongolia dan mampu membekalkan 50 bilion meter padu gas setiap tahun, menurut agensi berita Rusia, TASS.
“Hari ini, langkah yang sangat penting telah diambil untuk mengukuhkan lagi dan membangunkan perkongsian strategik kami, untuk meningkatkan bekalan tenaga bersih yang boleh dipercayai – gas asli – ke China,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Gazprom, Alexei Miller.
Gazprom dan China National Petroleum Corporation (CNPC) juga bersetuju untuk meningkatkan penghantaran sebanyak 15 peratus dalam saluran paip Power of Siberia yang sedia ada, lapor agensi berita Rusia, Interfax.
China dan India telah menggantikan Eropah sebagai pembeli terbesar minyak dan gas Rusia, menyediakan talian hayat untuk ekonomi Putin, yang telah dibebani oleh perbelanjaan ketenteraan untuk perang besar di Ukraine, kini dalam tahun keempat.
Perjanjian itu dibuat ketika pemimpin Amerika Syarikat, Donald Trump, mengancam untuk memperkenalkan tarif ke atas negara yang membeli minyak Rusia. – AFP


