Rusia, China selar tindakan AS

MOSCOW, 20 OGOS – Moscow dan China hari ini berkata Amerika Syarikat (AS) telah meningkatkan ketegangan ketenteraan dengan menguji beberapa peluru berpandu jarak jauh beberapa minggu selepas melakukan pelanggaran perjanjian dengan Rusia.

“AS telah jelas mengambil jalan ke arah peningkatan ketegangan ketenteraan. Kami tidak akan bereaksi terhadap provokasi,” kata timbalan menteri luar negeri Rusia, Sergei Ryabkov kepada agensi berita TASS.

AS kelmarin mengumumkan bahawa ia telah menguji sejenis peluru berpandu yang dilarang di bawah perjanjian Angkatan Nuklear Jarak Sederhana (INF) yang dimeterai pada 1987 dengan Kesatuan Soviet.

Peluru berpandu itu dilancarkan dari Pulau San Nicolas yang dikawal oleh Tentera Laut AS di pesisir California. Pelancaran itu juga dikatakan untuk meningkatkan serta mempamerkan kemampuan Washington berikutan dengan pelanggaran perjanjian dengan INF pada 2 Ogos lalu.

Masa depan perjanjian INF kini semakin membimbangkan, di mana Washington menuduh Moscow melanggar perjanjian itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus mencetuskan perlumbaan kepada senjata nuklear yang baharu dan berbahaya.

“Kami tidak akan membenarkan diri kami untuk masuk ke dalam perlumbaan senjata yang mahal,” kata Ryabkov.

Di Beijing, jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang berkata langkah AS ini akan mencetuskan pusingan baharu perlumbaan senjata, yang membawa kepada peningkatan konfrontasi ketenteraan. Dia memberi amaran bahawa ujian itu akan membawa kesan negatif yang serius terhadap keadaan keselamatan antarabangsa dan serantau.

INF melarang semua peluru berpandu berasaskan darat, konvensional dan nuklear, yang boleh bergerak antara 500 dan 5,500 kilometer (310 dan 3,400 batu). – AFP

AS telah menguji peluru berpandu yang sebelum ini ditegah di bawah perjanjian dengan Rusia, yang membatasi penggunaan senjata nuklear dan konvensional jarak dekat. – AFP