Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rusia didapati bertanggungjawab nahas MH17

    MONTREAL, 13 MEI – Agensi penerbangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menyalahkan Rusia kelmarin atas insiden kapal terbang Malaysia yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014, membawa kepada kematian 298 orang.

    Australia dan Belanda, negara yang paling banyak kematian warga mereka dalam tragedi itu, dengan segera meminta Rusia bertanggungjawab atas kejadian itu dan membayar ganti rugi.

    Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), yang berpangkalan di Montreal, berkata tuduhan yang dikemukakan oleh Australia dan Belanda berhubung pe-nembakan pesawat MH17 pada 17 Julai 2014 mempunyai asas yang kukuh dari segi fakta dan undang-undang.

    “Persekutuan Rusia gagal untuk menegakkan kewajipannya di bawah undang-undang udara antarabangsa terhadap kejatuhan pesawat Penerbangan Malaysia MH17 pada 2014,” kata agensi itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelmarin.

    ICAO berkata ini adalah kali pertama dalam sejarah majlisnya membuat penentuan atas merit pertikaian antara negara anggota.

    Gambar fail bertarikh 26 Mei 2021 menunjukkan bangkai pesawat Penerbangan Malaysia MH17, di pangkalan udara tentera Gilze-Rijen, selatan Belanda. – AP

    Pada 17 Julai 2014, pesawat Malaysia Airlines Boeing 777 – dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur – terkena peluru berpandu BUK buatan Rusia di wilayah Donetsk timur Ukraine, di mana pemberontak pemisah pro-Rusia sedang bertempur dengan tentera Ukraine.

    Warga Belanda menyumbang dua pertiga daripada jumlah yang maut, bersama 38 warga Australia dan kira-kira 30 rakyat Malaysia, dengan ramai mangsa mempunyai dua kewarganegaraan.

    Presiden Ukraine ketika itu, Petro Poroshenko, menggelarnya sebagai perbuatan pengganas.

    Pemberontak pro-Rusia di kawasan itu menuduhh pesawat itu ditembak jatuh oleh pesawat tentera Ukraine. Presiden Rusia Vladimir Putin berkata Ukraine bertanggungjawab atas kejadian itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda