MOSCOW, 16 OKT – Rusia menggantung semua import makanan laut Jepun susulan pelepasan air sisa Tokyo dari loji nuklear Fukushima.
Sebuah badan jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk mengawal selia produk pertanian Rusia, Rosselkhoznadzor berkata negara republik itu menyertai langkah sekatan sementara China terhadap import ikan dan produk makanan laut dari Jepun berkuat kuasa hari ini, sebagai langkah berjaga-jaga.
“Sekatan itu kekal sehingga maklumat lengkap yang diperlukan untuk mengesahkan keselamatan hasil makanan laut akan datang,” katanya.
China mengharamkan semua import makanan laut Jepun sejak hujung Ogos lalu atas apa yang disifatkan sebagai pelepasan air sisa Fukushima yang mementingkan diri sendiri dan tidak bertanggungjawab.
Jepun pada 24 Ogos memulakan fasa pelepasan pertama air tercemar yang dirawat dari loji yang terjejas ke Lautan Pasifik dalam operasi yang ditegaskan selamat dan memulakan fasa kedua pada 5 Oktober.
Menurut data kastam, tindakan itu telah mencetuskan tindak balas daripada jiran, diketuai oleh China, yang mengimport lebih daripada AS$500 juta makanan laut dari Jepun, tahun lalu.
Beijing mendakwa Tokyo belum membuktikan ketulenan dan ketepatan data air sisa nuklear, atau sama ada pelepasan air laut tidak berbahaya kepada persekitaran marin dan kesihatan manusia.
Mengikut rekod, Tokyo berhasrat untuk mengalirkan sejumlah air sisa ke Lautan Pasifik bersamaan 540 kolam renang Olimpik atau kira-kira 1.3 juta meter padu dari loji Fukushima dalam proses berperingkat yang berlangsung hingga 2050, mengikut jadual rasmi. – AFP


