Monday, May 12, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rusia haramkan operasi penerbangan UK

    MOSCOW, 25 FEB – Moscow melarang semua pesawat berkaitan dengan United Kingdom (UK), termasuk transit penerbangan, dari ruang udaranya selepas syarikat penerbangan utamanya Aeroflot dihalang daripada terbang di ruang udara Britain berikutan serangan Rusia ke atas Ukraine, hari ini.

    “Sekatan diperkenalkan ke atas penggunaan ruang udara Rusia untuk penerbangan pesawat yang dimiliki, dipajak atau dikendalikan oleh organisasi yang dikaitkan atau didaftarkan di UK,” kata pihak berkuasa penerbangan Rosaviatsia dalam satu kenyataan.

    Larangan itu berkuat kuasa dari 8 pagi waktu tempatan, katanya, dan termasuk penerbangan transit melalui ruang udara Rusia.

    Ia berkata keputusan itu diambil sebagai tindak balas terhadap keputusan pihak berkuasa penerbangan UK.

    London melarang Aeroflot daripada menggunakan ruang udara Britain kelmarin.

    Sementara itu, ia juga membekukan aset UK terbesar Rusia dalam perbankan dan pembuatan senjata, dalam sekatan yang diumumkan selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin melancarkan serangan ke atas Ukraine.

    Rosaviatsia berkata ia telah menghantar cadangan kepada rakan sejawatannya dari Britain untuk mengadakan perundingan kelmarin dan ia telah menerima “jawapan negatif” pada hari ini.

    Tentera Rusia yang menceroboh pula tiba di ibu negara Ukraine, Kyiv hari ini. Putin tidak mengendahkan sekatan antarabangsa dari beberapa buah negara dan meneruskan pencerobohan itu, yang telah diumumkannya pada awal pagi kelmarin. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda