MOSCOW, 14 OKT – Rusia berkata hari ini ia menjangka Taliban akan dapat menangani kumpulan Islamic State (IS) di Afghanistan tanpa sokongan luar, menjelang rundingan di Moscow minggu depan.
Kenyataan itu dikeluarkan setelah Presiden Vladimir Putin memberi amaran mengenai kumpulan pelampau dari Iraq dan Syria dengan hubungan IS yang memasuki Afghanistan.
Taliban, yang merebut kawalan Kabul dari kerajaan pro-Barat pada pertengahan Ogos, meminta pengiktirafan antarabangsa serta bantuan untuk menghindari bencana kemanusiaan.
Rejim Islam tersebut berdepan ancaman dari sekutu kumpulan IS yang digelar Islamic State di Korasan (IS-K), saingan sengit yang telah merancang serangan berbahaya.
“Kami khuatir dengan kegiatan kumpulan pengganas IS” di Afghanistan, ujar jurucakap kementerian luar negeri, Maria Zakharova kepada wartawan.
Zakharova mengatakan Rusia menjangkakan delegasi Taliban – yang ditegah di negara itu sebagai kumpulan pengganas – tiba di Moscow minggu depan bagi rundingan mengenai Afghanistan.
Mesyuarat itu akan memfokuskan kepada penyatuan bantuan antarabangsa untuk Afghanistan dalam ‘mencegah krisis kemanusiaan’ setelah Taliban mengambilalih, tambah Zakharova.
Selepas Taliban berkuasa, Rusia telah mengadakan latihan ketenteraan bersama Tajikistan – di mana ia mengendalikan pangkalan tentera – dan di Uzbekistan. Kedua-dua negara tersebut berkongsi sempadan bersama Afghanistan. – AFP
