MOSCOW, 31 MAC – Rusia hari ini mengumumkan bahawa mereka telah mendaftarkan vaksin koronavirus pertama untuk haiwan, menyifatkan langkah tersebut sebagai penting untuk menghentikan mutasi.
Mereka mengatakan penghasilan vaksin mungkin bermula April.
Agensi pengawasan pertanian, Rosselkhoznadzor berkata dalam kenyataan bahawa vaksin dipanggil Carnivak-Cov telah diuji pada awal Oktober ke atas anjing, kucing, cerpelai, musang dan haiwan lain dan terbukti berkesan.
“Kesemua binatang yang diuji telah diberikan vaksin dan membangunkan antibodi kepada koronavirus dalam 100 peratus kes,” kata Kostantin Savekov, timbalan ketua Rosselkhoznadzor.
“Ini adalah yang pertama di dunia dan satu-satunya produk yang mampu menghalang COVID-19 kepada haiwan,” katanya.

Rosselkhoznadzor berkata penghasilan suntikan mereka akan membantu menghalang mutasi pada haiwan dan memetik keputusan Denmark untuk membunuh 15 juta cerpelai tahun lalu selepas sebahagiannya didapati membawa virus varian mutasi.
“Penggunaan vaksin, menurut pakar saintis Rusia, boleh menghalang pembangunan virus mutasi,” menurut kenyataan.
Agensi menambah kemudahan pembiakan haiwan dan syarikat persendirian dari negara-negara termasuk Greece, Poland, Austria, Amerika Syarikat, Kanada dan Singapura berminat untuk mendapatkan Carnivak-Cov.
Pegawai tentera di bandar kedua Rusia, Saint Petersburg mengumumkan awal minggu ini bahawa anjing tentera akan mendapatkan vaksinasi mandatori sebelum ditempatkan di lapangan terbang dan menyertai hari peringatan Perang Dunia Kedua di seluruh negara pada Mei.
Rusia mempromosikan secara besar-besaran vaksin koronavirus tajaan negara itu di luar negara tetapi ramai yang merasa ragu di barat malah kebanyakan rakyat Rusia.
Pegawai mendaftarkan vaksin Sputnik V Ogos lalu, menjelang percubaan klinikal berskala besar, mencetuskan kebimbangan di kalangan ramai pakar mengenai proses yang pantas. Sejak itu dua lagi vaksin telah dibangunkan. – AFP