MOSCOW, 1 JULAI – Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden Indonesia, Joko Widodo, kelmarin, mengadakan perbincangan mengenai situasi semasa di Ukraine serta bekalan bijirin dan baja susulan kekurangan bekalan makanan global, lapor Xinhua.
Ketika sidang media bersama selepas mesyuarat dua hala di Kremlin itu, Putin memaklumkan secara terperinci mengenai situasi semasa di Ukraine kepada Widodo.
Menyentuh mengenai ketidak-seimbangan pasaran makanan global, Putin mengaitkan masalah itu dengan dasar makroekonomi yang tidak bertanggungjawab dari beberapa negara Barat.
Putin berkata pada tahun lalu, Rusia mengeksport lebih 43 juta tan bijirin merangkumi 33 juta tan gandum, dan hasil tuaian yang baik tahun ini memungkinkan Rusia mengeksport lebih banyak.
Rusia juga bersedia untuk menghantar bekalan baja dan bahan lain ke Indonesia dan negara-negara lain yang mempunyai hubungan baik dengan Kremlin.
Untuk tujuan tersebut, Putin menekankan kepentingan memulihkan rantaian bekalan yang terganggu akibat sekatan ke atas Rusia.
Widodo yang melawat Kyiv sebelum berkunjung ke Moscow turut menggariskan kepentingan mempromosikan penyelesaian damai terhadap krisis Ukraine.
“Saya menyampaikan mesej daripada Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky kepada Presiden Putin dan menzahirkan kesediaan saya untuk menjadi perantara antara kedua-dua pemimpin,” katanya.
Widodo menghargai janji Putin bagi menjamin bekalan makanan serta baja bukan sahaja dari Rusia tetapi membabitkan negara pembekal Ukraine. – Bernama
