MOSCOW, 4 OGOS – Darurat diisytiharkan di sebuah daerah di sepanjang pesisir Laut Hitam di Rusia susulan banjir melanda lokasi percutian popular Krasnodar, kata Gabenor wilayah kelmarin, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Dalam kenyataan di Telegram, Gabenor Veniamin Kondratyev berkata hujan lebat menyebabkan paras sungai meningkat secara mendadak.
Di daerah Tuapse, khususnya di perkampungan Defanovka, Moldavanskoye dan Novomikhaylovsky, sebanyak 34 buah rumah dan 45 premis lain dilaporkan dinaiki air. Di Lermontovo pula, sebuah jambatan lama dihanyutkan arus deras.
Pasukan krisis wilayah melaporkan bahawa perkhidmatan kecemasan berjaya menyelamatkan 25 orang daripada sebuah bas yang terjunam dari jambatan, manakala 40 pelancong lain turut dipindahkan ke kawasan selamat. – Bernama


