MOSCOW, 28 SEPT – Presiden Rusia Vladimir Putin berkata semalam negaranya menjangkakan penuaian bijirin amat tinggi pada 2022 ketika Moscow menyalahkan sekatan Barat dikenakan berhubung Ukraine kerana menghalang eksportnya, terutamanya ke negara miskin.
“Anggaran awal untuk 2022 telah pun mencecah 150 juta tan, termasuk kira-kira 100 juta tan gandum. Ia akan mencecah rekod dalam sejarah Rusia,” kata Putin dalam mesyuarat mengenai pertanian. Menurut Putin, ‘138.7 juta tan bijirin telah pun dituai.’
Rusia sejak beberapa minggu lalu telah menuduh negara Barat menghalang eksport produk pertanian, menegaskan situasi tersebut mewujudkan risiko kepada jaminan makanan global.
“Penghantaran bijirin dan baja kami di luar negara masih sukar,” kata Putin.
“Sekatan ke atas Rusia mencetuskan risiko yang memburukkan lagi situasi dan krisis makanan global,” tambah beliau. Putin telah mengkritik perjanjian yang dicapai di Istanbul pada Julai, yang membatalkan sekatan ke atas eksport bijirin dari Ukraine.
Putin menegaskan bijirin dihantar terutamanya ke negara Eropah, dan bukannya negara lebih miskin.
“Bijirin dari Ukraine terus memintas negara paling miskin.
“Setakat 23 September, daripada 203 kapal yang meninggalkan pelabuhan Ukraine, hanya empat yang menuju ke negara paling miskin di bawah program Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.” – AFP
