MOSCOW, 14 OGOS – Rusia kelmarin mengumumkan kawalan ke atas panggilan melalui aplikasi pemesejan WhatsApp dan Telegram, dengan alasan langkah itu perlu diambil bagi memerangi kegiatan jenayah, lapor media negara.
“Bagi membanteras penjenayah, langkah-langkah diambil untuk menyekat sebahagian fungsi panggilan pada aplikasi pemesejan asing ini (WhatsApp dan Telegram),” kata badan pemantau komunikasi Roskomnadzor, seperti dipetik oleh agensi berita RIA dan TASS.
Aplikasi-aplikasi tersebut, menurut badan berkenaan, telah menjadi ‘perkhidmatan panggilan utama yang digunakan untuk penipuan, pemerasan, serta melibatkan warganegara Rusia dalam kegiatan subversif dan keganasan.’
Moscow mahu penyedia aplikasi tersebut memberi akses kepada data apabila diminta oleh pihak penguatkuasa undang-undang, bukan sahaja untuk siasatan penipuan tetapi juga kes yang didakwa sebagai aktiviti keganasan.
“Akses kepada panggilan dalam aplikasi pemesejan asing akan dipulihkan selepas mereka mula mematuhi undang-undang Rusia,” kata Kementerian Digital Rusia.
Dalam kenyataan kepada AFP, Telegram berkata ia ‘secara aktif memerangi penyalahgunaan platformnya, termasuk seruan untuk melakukan sabotaj atau keganasan, serta penipuan,’ dan memadam ‘jutaan kandungan berbahaya setiap hari.’
“WhatsApp adalah perkhidmatan peribadi dengan pengekodan hujung ke hujung, dan menentang cubaan kerajaan untuk melanggar hak orang ramai terhadap komunikasi yang selamat, sebab itulah Rusia cuba menyekatnya daripada lebih 100 juta pengguna di negara itu,” kata jurucakap WhatsApp milik Meta kepada AFP.
Menurut jurucakap itu lagi, lebih 100 juta penduduk Rusia menggunakan WhatsApp untuk mesej dan panggilan, dan pihaknya bimbang langkah ini adalah usaha untuk memaksa mereka beralih kepada platform yang lebih mudah dipantau oleh kerajaan. – AFP


