ST. PETERSBURG, 20 JUN – Rusia menandatangani pelan hala tuju dengan Kazakhstan bagi projek pembinaan loji kuasa nuklear (NPP), lapor RIA Novosti, hari ini.
Majlis menandatangani dokumen itu diadakan pada Forum Ekonomi Antarabangsa St Petersburg (SPIEF) 2025 dan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif perbadanan nuklear Rusia, Rosatom, Alexey Likhachev, serta Pengerusi Agensi Tenaga Atom Kazakhstan, Almasadam Satkaliyev.
Menurut Likhachev, Rusia dan Kazakhstan kini mencapai kesepakatan yang lebih jelas mengenai parameter utama projek pembinaan loji itu.
“Hari ini, kami menyelesaikan fasa rundingan yang paling kompleks dan panjang, dengan mencapai beberapa parameter konkrit projek, termasuk tempoh pelaksanaan dan spesifikasi teknikal,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani dokumen itu.
Sabtu lalu, Agensi Tenaga Nuklear Kazakhstan mengumumkan bahawa Rosatom dipilih untuk mengetuai konsortium antarabangsa bagi membina loji kuasa nuklear pertama di Kazakhstan. – Bernama
