Tuesday, April 8, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rusia kurangkan hukuman tentera AS

    MOSCOW, 7 APRIL – Sebuah mahkamah di Rusia telah mengurangkan hukuman penjara terhadap seorang sarjan tentera Amerika Syarikat, Gordon Black, daripada tiga tahun sembilan bulan kepada tiga tahun dua bulan, menurut agensi berita tempatan.

    Gordon Black dijatuhi hukuman pada Jun 2024 selepas didapati bersalah mencuri dan mengugut untuk membunuh teman wanitanya, Alexandra Vashuk, ketika berada di Vladivostok pada Mei tahun lalu.

    Menurut laporan, peguamnya memohon agar tuduhan ugutan dibatalkan dan pertuduhan mencuri dikurangkan kepada kesalahan yang lebih ringan.

    Black, yang sebelum ini berkhidmat di Korea Selatan, mengaku bersalah sebahagian terhadap kesalahan mencuri tetapi menafikan dakwaan ugutan bunuh. Teman wanitanya mendakwa beliau telah menyerang dan mencuri 10,000 rubel (kira-kira AS$118) daripadanya.

    Kes ini berlaku ketika hubungan antara Rusia dan Amerika Syarikat menunjukkan tanda-tanda pemulihan, di tengah usaha Presiden Donald Trump menamatkan dasar pengasingan terhadap Moscow berhubung konflik Ukraine.

    Rusia masih menahan beberapa lagi rakyat Amerika, termasuk penari balet Ksenia Karelina dan bekas guru Bahasa Inggeris, Stephen Hubbard. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda