VLADIVOSTOK, 21 JULAI – Kerajaan Rusia akan memperuntukkan hampir 180 bilion rubel (kira-kira AS$2.3 bilion) dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk menaik taraf pusat pemeriksaan sempadan di seluruh negara, kata Perdana Menteri Mikhail Mishustin hari ini, lapor Xinhua.
Bercakap semasa lawatan ke pusat pemeriksaan sempadan kenderaan Kanikurgan di Wilayah Amur, Mishustin menekankan bahawa pelaburan itu akan menyokong pembinaan, pembaikan dan penaiktarafan teknikal kemudahan sempadan menggunakan penyelesaian digital dan teknologi yang canggih.
“Usaha berskala besar sedang dijalankan di seluruh negara untuk mempertingkat logistik rentas sempadan,” katanya.
“Sebagai sebahagian daripada kitaran belanjawan persekutuan tiga tahun semasa, kami akan menyalurkan hampir 180 bilion rubel untuk membangun dan memodenkan pusat pemeriksaan sempadan.” – Bernama
