Friday, April 26, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Rusia lancar 75 tembakan, 5 terkorban

    KYIV, UKRAINE, 10 OKT – Pasukan Rusia melancarkan serangan bertubi-tubi di seluruh Ukraine awal hari ini, sebagai tindakan balas yang jelas terhadap letupan yang memusnahkan jambatan utama ke Crimea yang dirampas oleh Moscow.

    Gelombang serangan terbesar di seluruh Ukraine dalam beberapa bulan itu mengorbankan lima orang di Kyiv dan berlaku beberapa jam sebelum mesyuarat majlis keselamatan Presiden Rusia Vladimir Putin.

    Jeneral tentera paling kanan Ukraine berkata, tentera Rusia telah menembak 75 peluru berpandu ke seluruh bandar negara itu, dalam gelombang serangan yang melibatkan dron Iran dan merupakan serangan pertama Rusia ke atas Kyiv sejak akhir Jun.

    “Kami sedang tidur apabila kami mendengar letupan pertama. Kami bangun untuk memeriksa dan kemudian letupan kedua datang,” kata Ksenia Ryazantseva, seorang guru bahasa berusia 39 tahun kepada AFP.

    Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dalam ucapan hari ini berkata pagi ini ‘sukar’ dan menjelaskan tentera Rusia telah menyasarkan dua lokasi dengan serangan bertubi-tubi.

    “Mereka mahu kita panik dan huru-hara dan mereka mahu memusnahkan sistem tenaga kita,” kata Zelensky, mengumumkan bahawa bom Rusia telah menyasarkan bandar-bandar termasuk Dnipro dan Zaporizhzhia di tengah negara dan Lviv di timur.

    “Sasaran kedua ialah orang ramai,” katanya sambil menuduh tentera Moscow melancarkan serangan dengan tujuan menyebabkan kerosakan sebanyak mungkin.

    Setiausaha Luar UK, James Cleverly berkata serangan peluru berpandu Rusia ke atas ibu kota Ukraine, Kyiv dan beberapa bandar lain adalah ‘tidak boleh diterima’.

    “Ini adalah demonstrasi kelemahan ditunjukkan oleh (Vladimir) Putin, bukan kekuatan,” katanya dalam Twitter, sambil menambah dia telah menghubungi rakan sejawatannya dari Ukraine, Dmytro Kuleba. – AFP

    Orang ramai menerima rawatan perubatan di lokasi pembedilan Rusia, di Kyiv, Ukraine, pada 10 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Menteri India pengsan semasa berkempen kerana cuaca panas

    NEW DELHI, 25 APRIL - Seorang menteri India telah pengsan semasa berucap pada perhimpunan pilihan raya kerana cuaca panas ketika biro cuaca negara itu...