KYIV, 17 APRIL – Rusia melancarkan serangan udara ke atas Kyiv semalam ketika Presiden Volodymyr Zelensky memberi amaran rundingan damai dengan Moscow akan dibatalkan jika tentera Ukraine di bandar pelabuhan yang dikepung di Mariupol terbunuh.
Pertumpahan darah terbaharu di ibu negara Ukraine dan tekanan yang semakin meningkat ke atas Mariupol berlaku apabila Canselor Austria, pemimpin Eropah pertama yang bertemu dengan Vladimir Putin secara peribadi sejak pencerobohan bermula dilaporkan berkata, beliau berpendapat Presiden Rusia itu ‘percaya telah memenangi perang’.
Serangan terbaharu ke atas Kyiv menamatkan minggu yang agak tenang di bandar itu.
Kepulan asap dari daerah Darnyrsky di tenggara ibu negara itu seperti dikatakan Moscow sebagai serangan ‘jarak jauh berketepatan tinggi’ ke atas sebuah kilang persenjataan, membunuh seorang dan mencederakan beberapa yang lain.
Sejumlah anggota polis dan tentera turut dikerah ke sekitar kawasan kilang yang mengalami kerosakan teruk itu.
“Pasukan kami melakukan segala yang mungkin untuk melindungi keselamatan semua, tetapi musuh adalah berbahaya dan kejam,” kata Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko. – AFP