MOSCOW, 3 MEI – Rusia hari ini melaporkan lebih dari 10,600 kes jangkitan koronavirus baharu, menandakan peningkatan rekod sehari.
Jangkitan baharu melonjak sebanyak 10,633 kepada 134,687 kes, kata pihak berkuasa Rusia.
Rusia kini merupakan negara Eropah yang mencatatkan kes jangkitan baharu yang tertinggi. Tetapi kadar kematian rasmi adalah rendah jika dibandingkan dengan Itali, Sepanyol dan Amerika Syarikat.
Seramai 58 orang telah terkorban dalam tempoh 24 jam, membawa jumlah keseluruhan kematian kepada 1,280 orang. Datuk bandar Moscow, Sergei Sobyanin telah berkata ibu negara Rusia, yang merupakan pusat penularan, belum melepasi kemuncak wabak.
Moscow merekodkan 5,948 kes baharu, membawa jumlah keseluruhan kepada 68,606 orang di ibu negara. Presiden Vladimir Putin berkata situasi masih ‘amat sukar’.
Meskipun peningkatan kes yang berterusan, kerajaan telah memberi petunjuk bahawa ia mungkin melonggarkan perintah berkurung berperingkat bermula 12 Mei, tetapi pelonggaran akan bergantung pada wilayah. – AFP
