MOSCOW, 4 MEI – Rusia berkata hari ini ia telah melarang kemasukan beberapa pegawai Jepun, termasuk Perdana Menteri Fumio Kishida, selepas Tokyo menyertai sekatan antarabangsa ke atas Moscow berhubung kempen ketenteraannya di Ukraine.
“Pentadbiran Fumio Kishida melancarkan kempen menentang Rusia dan membenarkan retorik tidak boleh diterima ke atas Persekutuan Rusia, termasuk fitnah dan ancaman,” kata kementerian luar dalam satu kenyataan.
“Ia diulang oleh tokoh awam, pakar, wakil media Jepun, yang terlibat sepenuhnya oleh sikap Barat terhadap negara kami,” tambah kementerian.
Ia menuduh Tokyo mengambil ‘langkah-langkah praktikal bertujuan merosakkan hubungan negara jiran, memusnahkan ekonomi Rusia serta menjejas prestij antarabangsa negara.’
Kementerian berkata ia melarang untuk satu tempoh tidak pasti kemasukan 63 warga Jepun ke Rusia, termasuk perdana menteri, anggota kabinet, penggubal undang-undang, wartawan dan profesor. Namun Kishida berkata ‘Rusia yang membawa hubungan Rusia-Jepun ke tahap ini.’
“Rusia yang mengundang situasi sedemikian dengan mengambil tindakan ketenteraan,” beritahunya kepada wartawan yang mengiringi beliau dalam lawatan ke Itali dan Vatican.
“Pembunuhan orang tidak bersalah oleh Rusia merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa,” kata beliau. “Kami tidak boleh memaafkannya.” – AFP