Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rusia larang kemasukan tokoh perniagaan Jepun

    TOKYO, 24 JULAI – Rusia telah melarang ketua firma Toyota dan 12 tokoh perniagaan senior Jepun daripada memasuki negara itu, sekali gus mencetuskan bantahan keras daripada kerajaan Jepun, hari ini.

    Senarai yang diterbitkan oleh Kementerian Luar Rusia kelmarin termasuk Pengerusi Toyota, Akio Toyoda, Ketua Eksekutif Rakuten, Hiroshi Mikitani dan Presiden Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun, Akihiko Tanaka.

    “Keputusan itu adalah tindak balas terhadap sekatan berterusan Jepun terhadap negara kami berhubung operasi ketenteraan khas,” menurut kenyataan Kementerian Luar Rusia, menggunakan istilah Moscow atas serangannya ke atas Ukraine.

    Ia tidak menjelaskan bagaimana individu-individu dipilih untuk senarai tersebut, yang tidak termasuk ketua firma-firma utama Jepun seperti Mitsubishi, Honda dan Sony.

    Jepun adalah penyokong tegar dasar Barat terhadap Ukraine, menyediakan bantuan kewangan dan material kepada Kyiv serta mengenakan sekatan terhadap individu dan organisasi Rusia.

    Perlembagaan Jepun yang bersifat perdamaian menghalangnya daripada mengeksport senjata, tetapi pada Disember lalu, Tokyo melonggarkan kawalan eksport senjata untuk membolehkan penjualan peluru berpandu Patriot buatan tempatan kepada Amerika Syarikat.

    Langkah itu bertujuan untuk menambah inventori sistem peluru berpandu pertahanan udara AS yang telah berkurangan akibat bekalan yang dihantar ke Ukraine.

    “Tindakan yang diumumkan oleh Rusia kali ini akan menyekat aktiviti adil syarikat-syarikat Jepun, dan adalah sama sekali tidak boleh diterima,” kata jurucakap kerajaan Jepun, Yoshimasa Hayashi. – AFP

    Hayashi ketika berucap di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di ibu pejabat PBB, pada 24 Februari 2023. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda