MOSCOW, 29 Mei – Pengawas komunikasi Rusia berkata kelmarin ia meminta Apple membantunya menyekat Telegram, satu aplikasi mesej popular yang telah diharamkan di negara ini kerana enggan memberikan akses perkhidmatan keselamatan kepada perbualan peribadi.
Roskomnadzor berkata ia telah meminta agar Apple menyekat penggunaan Telegram di Rusia, yang bermaksud pengguna tidak akan menerima makluman untuk mesej baharu dan dengan itu menjadikannya kurang berguna, serta tidak lagi tersedia untuk dimuat turun di negara ini.
“Untuk mengelakkan tindakan yang mungkin dilakukan oleh Roskomnadzor atas pelanggaran fungsi perkhidmatan Apple di atas, kami meminta anda memberitahu kami secepat mungkin mengenai tindakan selanjutnya syarikat anda untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Pengarah Roskomnadzor, Alexander Zharov kemudian memberitahu agensi berita Rusia Interfax bahawa Apple mempunyai satu bulan untuk membalas dan menolak untuk membuat spekulasi mengenai tindakan yang mungkin diambil terhadap firma AS jika ia enggan mematuhi.
Bulan lalu, sebuah mahkamah Moscow mengharamkan aplikasi popular berikutan pertempuran yang panjang antara pihak berkuasa dan Telegram. Aplikasi ini dibuat oleh programmer maverick Rusia, Pavel Durov yang telah lama mengatakan bahawa beliau akan menolak apa-apa percubaan oleh perkhidmatan keselamatan negara untuk mendapatkan akses ‘backdoor’ ke aplikasinya.- AFP