YANGON, 7 NOV – Ketua tentera laut Rusia mengadakan perjumpaan dengan ketua junta Myanmar menjelang latihan tentera laut bersepadu yang dijadualkan bermula hari ini, menurut media negara Myanmar.
Ia merupakan latihan gabungan pertama antara kedua-dua buah negara yang berada dalam konflik dengan Barat.
Latihan keselamatan yang melibatkan Armada Pasifik Rusia dan tentera laut Myanmar akan diteruskan sehingga 9 November di Laut Andaman, lapor Global New Light of Myanmar.
Kedua-dua angkatan laut akan mempersiapkan kapal dan pesawat untuk latihan simulasi “mengelak bahaya udara, permukaan air dan bawah air serta langkah keselamatan maritim”, lapor akhbar itu.
Menjelang latihan itu, Ketua Tentera Laut Rusia, Laksamana Nikolai Yevmenov, bertemu dengan pemimpin junta, Min Aung Hlaing, di atas kapal pemusnah Rusia, Admiral Tributs dan memberikan taklimat kepadanya tentang keupayaan kapal itu, menurut akhbar itu.
Moscow adalah sekutu rapat kepada junta Myanmar, yang memberikan bantuan senjata dan sokongan diplomatik dalam usaha tentera Myanmar untuk menumpaskan pemberontakan bersenjata menentang pemerintahannya.
Junta menyifatkan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine sebagai ‘wajar’.
Pada bulan September, Myanmar dan Rusia telah menjadi pengerusi bersama dalam satu latihan ketenteraan ‘anti-keganasan’ yang diadakan di timur jauh Rusia yang menghimpunkan beberapa negara dari Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara. – AFP


