Thursday, March 6, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rusia, Myanmar kukuh kerjasama

    MOSCOW, 5 MAC – Presiden Rusia, Vladimir Putin mengadakan perbincangan kelmarin dengan Ketua Junta Tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing, berusaha mengukuhkan kerjasama dengan Moscow ketika berdepan pemulauan dan sekatan daripada negara Barat.

    Lawatan itu merupakan kali keempat Min Aung Hlaing ke Rusia sejak tenteranya merampas kuasa daripada kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi pada Februari 2021.

    Tindakan tersebut mencetuskan sekatan ekonomi dan politik dari negara Barat susulan penindasan ganas terhadap pihak pembangkang, yang telah mengorbankan ribuan orang awam dan mencetuskan konflik bersenjata yang dianggap sebagai perang saudara.

    Dalam pertemuan di Kremlin, Putin menekankan pertumbuhan perdagangan dua hala dan kerjasama erat di peringkat antarabangsa. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Myanmar atas penghantaran enam ekor anak gajah ke Moscow.

    Rusia, bersama China, merupakan penyokong utama Myanmar dan pembekal senjata kepada junta. Jet pejuang buatan Rusia digunakan dalam serangan ke atas wilayah yang dikuasai kumpulan etnik minoriti, kebanyakannya bersekutu dengan pasukan penentang pro-demokrasi. – AP

    Min Aung Hlaing (kiri) menyampaikan sebuah buku Buddha dari 1838 kepada Presiden Rusia Vladimir Putin, yang menggambarkan hubungan antara raja Myanmar dan Rusia, semasa pertemuan mereka di Istana Grand Kremlin di Moscow, Rusia pada 4 Mac. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda