NEW DELHI, 1 APRIL – Menteri luar Rusia memuji India kerana tidak berpihak kepada ‘pandangan satu hala’ ketika beliau membincang serangan Moscow ke atas Ukraine bersama rakan sejawatan India hari ini, selepas Washington menggesa New Delhi supaya menggunakan pengaruhnya dengan Rusia untuk menamatkan perang.
Menteri Hal Ehwal Luar India Subrahmanyam Jaishankar dan Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov dalam kata-kata pembukaan mereka menekankan hubungan di antara kedua-dua negara telah membawa mereka mengharungi masa sukar sebelum ini.
Jaishankar berkata India sentiasa memilih menyelesaikan perselisihan menerusi dialog dan diplomasi dan mengelak mengecam serangan Rusia ke atas Ukraine.
Lavrov memuji India kerana menilai ‘situasi secara menyeluruh, bukan secara satu pihak.’ Beliau meluahkan harapan penghormatan bersama dalam usaha mencari keseimbangan dalam hubungan akan berkekalan pada masa depan.
Kedua-dua negara dijangka membincang bekalan alat ganti untuk peralatan tentera Rusia oleh India, perniagaan dan bayaran minyak dalam rouble, seperti yang dituntut Moscow. India adalah sekutu Moscow semasa Perang Dingin tetapi telah berusaha mengekalkan hubungan dengan Rusia dan negara Barat. – AP
