PRAGUE, 7 NOV – Rusia mengetepikan Switzerland untuk memenangi Piala Billie Jean King (BJK) sulung di Prague kelmarin, tetapi kemenangan itu bertukar hambar apabila Switzerland mencadangkan juara baharu itu telah menggantikan pemain dengan melanggar peraturan.
Daria Kasatkina menewaskan Jil Teichmann 6-2, 6-4 dan Liudmila Samsonova mengatasi juara Olimpik, Belinda Bencic 3-6, 6-3, 6-4 untuk membawa Rusia gelaran kelima keseluruhannya dalam pertandingan berpasukan yang sebelum ini dikenali sebagai Piala Fed.
“Saya mempunyai terlalu banyak emosi sekarang, saya rasa seperti saya kedinginan dan ia sungguh sukar dipercayai.
“Sangat gembira,” kata Samsonova selepas meraikannya bersama pasukannya.
“Hari ini adalah pertarungan yang luar biasa, ia lebih daripada tenis,” tambahnya.
Teichmann, pemain nombor 39 dunia, menumpaskan Storm Sanders pada Jumaat lalu ketika Switzerland menewaskan Australia pada separuh akhir, tetapi Kasatkina yang berada di kedudukan ke-28, yang tidak beraksi dalam dua perlawanan Rusia sebelum ini, membuktikan tahap yang berbeza.
Pemain Rusia itu mendahului 5-0 menerusi pukulan tepat dan tiga kali mata penentu tatkala Teichmann menghadapi kesukaran dengan servisnya dan dia mengambil set dengan mudah walaupun mendapat penentuan akhir daripada pemain Switzerland itu.
Kedua-duanya mengekalkan servis mereka pada set kedua sehingga perlawanan ketujuh apabila mereka masing-masing meraih mata penentu tetapi Kasatkina memperoleh satu mata lagi dan kemudian mengekalkan servisnya, memenangi set itu ketika Teichmann meledakkan pukulan depannya keluar dari gelanggang. – AFP
