Monday, May 12, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rusia sambut hari kemenangan

    MOSCOW, 9 MEI – Presiden Vladimir Putin hari ini mempertahankan serangan Rusia di Ukraine dan menyalahkan Kyiv dan negara-negara Barat, ketika beliau menggunakan sambutan Hari Kemenangan untuk dijadikan sebagai sokongan patriotik dalam kempen berkenaan.

    Bercakap pada awal perarakan tentera tahunan di Red Square sempena menandakan kekalahan Nazi Jerman oleh Soviet, Putin berkata tentera Rusia di Ukraine mempertahankan tanah air mereka dan menggambarkan konflik sebagai penyambungan Perang Dunia Kedua.

    Menyampaikan ucapan kepada tentera Rusia yang berperang di Ukraine, beliau berkata: “Awda sedang bertempur untuk tanah air, untuk masa depan, supaya tiada sesiapa yang lupa pengajaran Perang Dunia Kedua.”

    Kira-kira 11,000 tentera berarak di Red Square sempena ulang tahun ke-77 hari ini, bersama lebih 130 kenderaan tentera termasuk kereta kebal dan pelancar misil balistik antara benua.

    Terbang lintas hormat dirancang oleh pesawat udara tentera Rusia di Moscow dan bandar lain dibatalkan disebabkan cuaca buruk.

    Menteri Pertahanan Sergei Shoigu dan Ketua Komander Tentera Darat Rusia Oleg Salyukov memulakan perarakan hari ini.

    Perayaan bermula hari ini di Timur Jauh Rusia, dengan ribuan berkumpul di bandar Pantai Pasifik Vladivostok untuk menyaksikan kenderaan tentera memasuki jalan dan menyertai perarakan bergelar ‘Rejimen Immortal.’

    Perarakan, yang semakin popular dalam beberapa tahun ini, menyaksikan orang membawa gambar veteran atau ahli keluarga yang terbunuh semasa Perang Dunia Kedua. – AFP

    Orang ramai membawa potret saudara yang bertempur dalam Perang Dunia Kedua, semasa perarakan ‘Rejimen Immortal’ di St Petersburg, Rusia kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda