MOSCOW, 22 JAN – Kremlin hari ini menyambut baik cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS) untuk melanjutkan perjanjian kawalan senjata nuklear terakhir di antara kedua-dua negara, yang dijangka luput dalam masa kurang dua minggu.
Jurucakap Presiden Rusia Vladimir Putin, Dmitry Peskov berkata Rusia menyokong pelanjutan perjanjian dan sedang menunggu untuk melihat butir-butir cadangan AS.
Rumah Putih berkata semalam Biden telah mengusulkan kepada Rusia pelanjutan perjanjian START baharu selama lima tahun.
“Kami mengalu-lukan semangat politik untuk melanjutkan dokumen tersebut,” kata Peskov dalam persidangan bersama wartawan. “Namun segala-galanya bergantung pada butir-butir cadangan.”
Perjanjian itu, dimeterai pada 2010 oleh Presiden Barack Obama dan Presiden Rusia Dmitry Medvedev, mengehadkan setiap negara dengan 1,550 kepala peluru nuklear. Ia luput tempohnya pada 5 Februari.
Rusia telah lama mencadangkan untuk melanjutkan perjanjian tanpa sebarang syarat atau perubahan, tetapi pentadbiran Presiden Donald Trump menunggu sehingga tahun lalu untuk memulakan rundingan dan mengemukakan syarat-syarat pelanjutan.
Rundingan menemui kebuntuan dan gagal mencapai sebarang kata sepakat.
“Syarat-syarat tertentu untuk pelanjutan telah dikemukakan, dan ada di antaranya tidak dapat diterima, maka biarlah kami lihat terlebih dahulu apa yang ditawarkan oleh AS,” kata Peskov. – AP






























