MOSCOW – Beberapa ekor paus beluga dan paus pembunuh yang ditangkap untuk melakukan persembahan di dalam akuarium dan disimpan di dalam kurungan sempit sejak musim panas lalu dilepaskan hidup bebas selepas campur tangan Presiden Rusia, Vladimir Putin, kata pegawainya baru-baru ini.
Pembebasan lapan ekor paus beluga dan paus pembunuh di Laut Okhotsk, timur Rusia berlaku selepas ia mencetuskan kemarahan pelbagai pihak terhadap kurungan yang menempatkan hampir 100 mamalia marin tersebut.
Berjalan lancar
“Pembebasan haiwan itu dilakukan ketika cuaca dalam keadaan baik. Paus pembunuh sedikit gelisah, haiwan itu meluangkan masa beberapa jam berdekatan daratan dan kemudian berenang memasuki perairan terbuka di Teluk Sakhalin. Kesemua ikan paus itu telah di tanda bagi membolehkan saintis menjejaki di mana mereka berada,” kata Institut Perikanan dan Oseanografi yang mengetuai operasi dalam satu kenyataan akhbar.
Paus-paus itu telah ditempatkan di dalam kurungan sejak musim panas lalu oleh sebuah firma komersial yang merancang untuk menghantar mamalia berkenaan ke beberapa buah akuarium termasuk di China.
Putin menyokong pembebasan paus-paus itu dan bersyukur kerana ia telah mula dijalankan. “Tidak ada haiwan yang cedera ketika dalam perjalanan melepaskannya lebih 1,800 kilometer dari daratan,” katanya. – AFP
