Rusia terima 40 kapal baharu

MOSCOW, 26 JULAI – Presiden Vladimir Putin berkata tentera laut Rusia akan menerima 40 kapal baharu tahun ini, ketika beliau menghadiri perarakan tentera laut di St Petersburg hari ini sempena Hari Tentera Laut.

Perarakan di St Petersburg dan bandar berhampiran Kronshtadt memaparkan 46 buah kapal dan lebih 4,000 tentera dan bertujuan “menunjukkan kuasa tentera laut kami yang semakin meningkat,” kata Putin.

Beliau berkata 40 kapal dari kelas berlainan akan beroperasi pada tahun ini, dan tentera laut Rusia akan dilengkapi dengan senjata hipersonik untuk merangsang keupayaan pertempurannya. Memulakan perarakan, beliau berkata ‘enam kapal tambahan untuk zon laut jauh telah ditempatkan di tiga limbungan kapal terkenal di Rusia’ dalam masa beberapa hari lalu.

Kremlin telah menjadikan pemodenan tentera sebagai dasar utama di tengah ketegangan dengan Barat yang menyusuli pemisahan Crimea oleh Moscow pada 2014. Pada awal minggu ini, Putin menghadiri satu maj-lis pembinaan kapal perang baharu di Crimea dan berjanji akan meneruskan program untuk membina kapal perang baharu, berkata Rusia memerlukan tentera laut yang kuat untuk mempertahankan kepentingannya dan ‘membantu mengekal keseimbangan strategik dan kestabilan global. – AP

Presiden Rusia Vladimir Putin (tengah), Menteri Pertahanan Sergei Shoigu (kanan) dan Ketua Komander Tentera Laut Nikolai Yevmenov (kiri) tiba untuk menghadiri perarakan tentera di St Petersburg, Rusia kelmarin. – AP