Friday, January 17, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rusia tiada hasrat letak senjata nuklear di angkasa – Putin

    MOSCOW, 21 FEB – Presiden Rusia, Vladimir Putin mengisytiharkan kelmarin bahawa Moscow tidak berhasrat untuk menggunakan senjata nuklear di angkasa lepas, dengan mendakwa bahawa negara itu hanya membangunkan keupayaan angkasa lepas yang serupa dengan Amerika Syarikat (AS).

    Kenyataan Putin berikutan pengesahan Rumah Putih minggu lalu bahawa Rusia telah memperoleh keupayaan senjata anti-satelit yang ‘mengganggu’, walaupun senjata sedemikian belum beroperasi lagi. Jurucakap keselamatan negara Rumah Putih, John Kirby berkata ia akan melanggar Perjanjian Angkasa Lepas antarabangsa, tetapi enggan mengulas sama ada senjata itu berkeupayaan nuklear.

    Perjanjian yang ditandatangani oleh lebih daripada 130 negara, termasuk Rusia, melarang penggunaan ‘senjata nuklear atau apa-apa jenis senjata pemusnah besar-besaran’ di orbit atau penempatan ‘senjata di angkasa lepas dengan cara lain’.

    Rumah Putih berkata ia akan berusaha untuk melibatkan pihak Rusia secara langsung mengenai kebimbangan itu.

    “Pendirian kami agak jelas dan telus: kami sentiasa dan kekal menentang penggunaan senjata nuklear di angkasa,” kata Putin. “Sebaliknya, kami menggesa semua orang untuk mematuhi semua perjanjian yang wujud dalam bidang ini.”

    Bercakap semasa pertemuan dengan menteri pertahanannya, Sergei Shoigu, Putin menyatakan bahawa Rusia hanya membangunkan keupayaan angkasa lepas yang ‘negara lain, termasuk AS miliki’.

    “Dan mereka mengetahuinya,” tambahnya.

    “Kami tidak menggunakan mana-mana senjata nuklear di angkasa atau mana-mana elemen daripadanya untuk digunakan terhadap satelit atau untuk mencipta medan di mana satelit tidak boleh berfungsi dengan cekap,” kata Shoigu.

    Shoigu mendakwa bahawa Rumah Putih boleh membuat dakwaan tentang keupayaan ruang angkasa Rusia yang baharu untuk memaksa Kongres menyokong bantuan untuk Ukraine dan juga menggalakkan Moscow untuk memasuki semula rundingan kawalan senjata nuklear yang telah ditangguhkan Rusia di tengah-tengah ketegangan dengan AS ke atas Ukraine.

    Putin tidak menolak kemungkinan hubungan masa depan dengan AS, tetapi menegaskan semula pandangannya bahawa desakan Washington untuk kekalahan Rusia di Ukraine menjadikan mereka mustahil buat masa ini.

    “AS dan Barat, untuk satu perkara, menyeru kekalahan strategik Rusia, manakala, sebaliknya, mereka ingin mengadakan dialog mengenai kestabilan strategik, berpura-pura bahawa perkara itu tidak berkaitan,” katanya. “Ia tidak akan menjadi.” – AP

    Presiden Rusia, Vladimir Putin (kanan) mendengar Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu semasa pertemuan mereka di Kremlin di Moscow, Rusia, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda