MOSCOW, 7 OKT – Kapal berkuasa hidrogen pertama Rusia, yang dinamakan Ecobalt, dijadualkan menjalani ujian laut bulan ini, lapor media tempatan hari ini.
Kapal tersebut, yang direka sebagai bot rekreasi 12 penumpang, dilengkapi dengan penjana elektrokimia yang dikuasakan oleh bahan api hidrogen, kata Oleg Savchenko, pengarah besar Pusat Penyelidikan Negeri Krylov (KSRC).
“Ini akan menjadi kapal pertama Rusia dengan penjana hidrogen elektrokimia buatan tempatan,” RIA Novosti memetik Savchenko sebagai berkata.
KSRC, pembangun terkemuka bagi reka bentuk kapal, material dan teknologi untuk Tentera Laut Rusia, mengetuai projek ini. Kapal tersebut telah dibina di Limbungan Kapal Gorky Zelenodolsk oleh Ak Bars, berdasarkan reka bentuk oleh Biro Reka Bentuk Pusat Baltsudoproekt KSRC.
Renat Mistakhov, pengarah besar Ak Bars, berkata bahawa kapal itu adalah prototaip untuk memperhalusi teknologi berasaskan hidrogen dan membangunkan modul kuasa universal menggunakan sel bahan api. – Xinhua