MOSCOW, 26 DIS – Rusia mengumumkan kelmarin bahawa lebih 10,000 tentera telah menamatkan latihan selama sebulan berhampiran Ukraine, di tengah-tengah tuduhan barat bahawa Moscow merancang pencerobohan ke atas jirannya, bekas kerajaan Soviet.
Kementerian pertahanan berkata dalam satu kenyataan bahawa latihan untuk pasukan Tentera Daerah Selatan telah diadakan di beberapa wilayah selatan termasuk Rostov, Krasnodar dan Crimea, yang dirampas Moscow dari Ukraine pada 2014.
Tetapi latihan itu juga berlangsung lebih jauh, termasuk di Stavropol, Astrakhan, republik Caucasus Utara dan juga sekutu Caucasus Rusia, Armenia.
Kementerian pertahanan berkata tentera mereka akan kembali ke pangkalan tetap dan unit siap-sedia akan bersedia semasa cuti Tahun Baharu. Negara Barat menuduh Rusia mengumpulkan lebih 100,000 tentera berhampiran Ukraine sebelum kemungkinan pencerobohan musim sejuk.
Menurut anggaran Kiev, bilangan tentera Rusia di sepanjang sempadan Ukraine telah meningkat sekitar 93,000 tentera pada Oktober kepada 104,000 sekarang.- AFP