Pelawak dan pelakon terkenal Britain, Russell Brand, 49, hadir di Mahkamah Majistret Westminster pada Jumaat bagi menghadapi lima pertuduhan berkaitan kesalahan rogol dan serangan seksual.
Pendakwaan terhadapnya melibatkan dua pertuduhan rogol, dua pertuduhan serangan seksual dan satu pertuduhan serangan tidak senonoh yang didakwa berlaku antara tahun 1999 dan 2005, melibatkan empat wanita.
Dalam satu video dimuat naik ke platform X bulan lalu, Brand menafikan kesemua dakwaan dan menyatakan dia bersedia mempertahankan dirinya di mahkamah.
“Saya merupakan seorang penagih dadah dan ketagih seks pada masa lalu, tetapi saya bukan perogol. Saya tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti tanpa kerelaan,” katanya.
Antara pertuduhan yang dihadapi termasuk rogol di kawasan Bournemouth pada 1999; rogol secara oral dan serangan seksual di Westminster pada 2004; serta dua lagi kes melibatkan serangan tidak senonoh dan serangan seksual antara 2001 hingga 2005 juga di Westminster.
Brand memulakan kerjayanya sebagai pelawak pada usia remaja dan dikenali menerusi gaya jenaka berani serta kontroversi sebelum melebarkan kerjaya ke Hollywood.
Sebagai rekod, Brand bercerai dengan Katy Perry pada 2012. Kini, dia berkahwin dengan penulis dan pelukis, Laura Gallacher dan mempunyai tiga orang anak. – AFP
