IMOLA, ITALI 3 NOV – Lewis Hamilton dan Romain Grosjean menghantar pesanan ringkas menyatakan sokongan mereka kepada George Russell kelmarin selepas dia terlibat dalam kemalangan di Grand Prix Emilia Romagna pada hujung minggu lalu.
Russell, 22, pada ketika itu menduduki kedudukan ke-10 dan berkemungkinan merangkul mata pertama dalam Formula Satu dan Williams untuk musim ini apabila dia hilang kawalan semasa memecut untuk memanaskan tayar kereta dan terbabas merempuh dinding.
Dia keluar dari kereta dan duduk di tepi litar dengan tangan diletakkan di kepala sebelum menuju tempat perhentian.
Juara dunia enam kali memberitahu rakan senegaranya dari Britain bahawa ‘tidak mengapa membuat kesilapan dan untuk merasa keperitan,’ dan menambah agar dia ‘kekal bersemangat dan meneruskan perjuangan’.
Grosjean turut merasa simpati selepas mengalami kemalangan di Azerbaijan dua tahun lalu.

“Saya memahami perasaan itu,” katanya.
“Ia akan mengambil sedikit masa untuk melupakannya, tetapi apa yang anda lakukan selepas itu adalah sesuatu yang lebih besar. Teruskan perjuangan.”
Russell kemudian menyifatkan insiden tersebut sebagai ‘kesilapan terbesar yang pernah dilakukan dalam kariernya’.
Pemandu dari Britain tersebut merupakan salah seorang pemandu muda yang diberi harapan tinggi untuk mencabar kejuaraan pada masa akan datang dan berada dalam kedudukan yang baik untuk menjadi pemandu perlumbaan.
Mercedes mengeluarkan pesanan menerusi media sosial termasuk gambar serpihan dari kemalangan.
Serpihan merah keluar dari kereta juara dunia empat kali, Sebastian Vettel, selepas berlanggar dengan Kevin Magnussen, dan ia menghalang keupayaan Bottas untuk mengawal dan memenangi perlumbaan.
Pasukan masing-masing sedang mengeluarkan serpihan pada perhentian kedua, ketika Hamilton mengambil kesempatan untuk mencatat rekod 93 kemenangan. – AFP