Wednesday, March 26, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rusuhan bantah undang-undang ketenteraan baharu di Surabaya

    SURABAYA, 25 MAC – Satu pertempuran ganas tercetus kelmarin di bandar metropolitan Surabaya, Indonesia, antara polis dan penunjuk perasaan yang membantah undang-undang ketenteraan baharu negara itu, menurut wartawan AFP yang menyaksikan kejadian tersebut.

    Kira-kira 1,000 pelajar dan aktivis berpakaian hitam menyertai tunjuk perasaan di hadapan sebuah bangunan kerajaan di Jawa Timur. Sambil memegang poster berbunyi ‘Tolak Undang-undang Ketenteraan’ dan ‘Tentera Harus Kembali ke Berek’, penunjuk perasaan membaling batu, kayu dan bom botol ke arah polis yang mengawal demonstrasi tersebut.

    Polis akhirnya menggunakan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan sekitar 7 malam.

    “Kami menerima maklumat bahawa 25 orang sedang ditahan sekarang, tetapi sehingga kini kami masih tidak dapat memberikan bantuan guaman kepada mereka,” kata Fatkhul Khoir, seorang aktivis hak asasi manusia daripada Suruhanjaya Orang Hilang dan Mangsa Kekerasan (KontraS) kepada AFP.

    Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa penunjuk perasaan yang dibawa ke pejabat polis kelihatan lebam.

    Pihak polis tidak memberi sebarang respons terhadap permintaan AFP untuk mendapatkan komen.

    Parlimen Indonesia meluluskan pindaan undang-undang ketenteraan pada Khamis, meskipun terdapat bantahan yang menyatakan ia akan memperluaskan peranan angkatan tentera dalam hal ehwal awam. – AFP

    Polis anti-rusuhan melindungi diri ketika pelajar membaling batu semasa protes di Surabaya pada 24 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda