BANGKOK, 7 OKT – Sebuah mahkamah di Thailand hari ini menjatuhkan hukuman penjara terhadap 11 bekas pemimpin kumpulan penunjuk perasaan ‘Baju Merah’ kerana peranan mereka dalam demonstrasi anti-kerajaan pada tahun 2010 yang berakhir dengan tindakan keras tentera sehingga meragut puluhan nyawa.
Kumpulan ‘Baju Merah’, penyokong bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, didapati bersalah melanggar peraturan darurat yang dikenakan semasa bantahan yang bertujuan menggulingkan Perdana Menteri ketika itu, Abhisit Vejjajiva.
Puluhan ribu penyokong ‘Baju Merah’, yang dikenali melalui warna pakaian mereka, menguasai beberapa persimpangan utama di ibu negara Bangkok pada tahun 2010, sebahagiannya berkubu di kem protes dan bertempur dengan pihak berkuasa.
Perhimpunan itu tercetus selepas Thaksin didapati bersalah atas tuduhan rasuah, setelah beliau digulingkan melalui rampasan kuasa tentera pada 2006 dan seterusnya melarikan diri ke luar negara.
Protes tahun 2010 itu menyebabkan kompleks kerajaan ditutup selama lebih dua bulan dan berakhir apabila tentera melepaskan tembakan peluru hidup untuk menyuraikan penunjuk perasaan di pusat bandar Bangkok.
Menurut Human Rights Watch, sekurang-kurangnya 90 orang terbunuh dalam rusuhan tersebut, antara episod politik paling berdarah di Thailand, manakala lebih 2,000 lagi cedera.
Mahkamah jenayah Bangkok hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun empat bulan terhadap lima pemimpin protes, termasuk aktivis terkenal Jatuporn Prompan, manakala enam yang lain dihukum penjara empat bulan dan dua lagi dibebaskan, beritahu Jatuporn kepada AFP. – AFP


